Rabu, 18 Mei 2011

Perutusan YangDipertua PIBG

DATO' HJ RAJA IDERIS B RAJA IDERIS (ADUN BN SELANGOR KAW SG AIR TAWAR)

YANG DIPERTUA PIBG SMKTARP

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih kepada jawatankuasa laman web sekolah kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Terlebih dahulu, saya bagi pihak PIBG mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa laman web SMKTARP kerana telah menggembleng tenaga dan usaha untuk mewujudkan laman web rasmi sekolah. Laman web sekolah merupakan salah satu saluran media terkini untuk menyampaikan informasi kepada seluruh warganya, ibu bapa dan masyarakat. Informasi yang disampaikan berbentuk laporan dan imbas aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah. Setiap aktiviti yang dirancang dan dilaksana, perlukan pelaporan untuk kita menilai kembali impak dan keberkesanan setiap aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun. Segala pencapaian sekolah dapat diketahui umum termasuk prestasi peperiksaan awam, sukan dan kegiatan kokurikulum. Kepada para pelajar, saya berharap agar dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Jadilah pelajar yang berdisiplin dan berilmu serta gunakanlah ilmu yang ada untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara. Kepada semua ibu bapa, marilah kita bersama-sama berganding bahu dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan apa jua masalah anak-anak kita sama ada yang berkaitan dengan akademik, kokurikulum mahupun disiplin. Berikanlah komitmen dan kerjasama kepada pihak sekolah dan PIBG dalam menjayakan program-program yang irancang. Kepada para pendidik, terima kasih atas segala perhatian serta komitmen yang diberikan dalam mendidik pelajar-pelajar sehingga berjaya. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pendidik mahupun ahli-ahli PIBG sekolah ini kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin PIBG sekolah ini. Terima kasih atas segala kerjasama dan komitmen yang diberikan dan saya sentiasa berdoa dan berharap agar sekolah ini akan terus cemerlang.

Sekian, terima kasih

DATO’ HJ RAJA IDERIS B RAJA IDERIS

YANGDIPERTUA PIBG, SMK. Tunku Abdul Rahman Putra Sabak Bernam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan